SEBUAH TRAVELOG
MISI BANTUAN KEMANUSIAAN
KE TURKIYE
Kejadian bencana yang menimpa Turkiye memberi kesan kepada penduduk yang mengalaminya. Beberapa pertubuhan NGO dari Malaysia komited menghulurkan bantuan dalam pelbagai cara. Klinik As-Salam turut mengambil peluang ini bagi menyampaikan bantuan dari segi bekalan perubatan.
Dr. Taqiuddin mewakili Klinik As-Salam berkongsi pengalaman ketika berada di perkampungan yang dilanda gempa untuk tatapan kita bersama. Sama-sama kita hayati kisah ini.
HARI PERTAMA
23 Feb 2023
Gazientep-Iskanderium-Hatay
Sejurus selepas mendarat di Lapangan Terbang Gazientep, team kami terus ke pusat gempa. Tetapi disebabkan beberapa masalah teknikal, kami tak dapat memulakan kerja. Hanya sempat singgah di sebuah hospital sementara dan sebuah pusat penempatan yang dikawal selia oleh sebuah NGO setempat.
Seperti dijangka, 2-3 minggu selepas berlakunya gempa adalah situasa bagaimana mangsa gempa mahu bangkit semula membina kehidupan. Dengan rumah musnah yang entah bila dapat dibina semula, banyak perniagaan dan kedai tutup, hospital yang ada pun musnah, bantuan perubatan lambat masuk ke kawasan pedalaman, ubat-ubatan penyakit kronik terputus bekalan dan bermacam-macam lagi. Kalau nak disenarai, memang panjang.
HARI KEDUA
BERMULALAH EPISOD MENYELAMI PENDERITAAN MEREKA
24 Feb 2023
Gazientep-Kahramanmaras
Dengan bantuan penduduk setempat dan seorang jurubahasa, team kami telah dibawa ke kawasan pendalaman di pergunungan yang terkesan teruk dengan gempa.
Kedudukan kampung yang jauh dari bandar menyebabkan bantuan luar agak lambat sampai dan mungkin ada yang terlepas pandang. Kami berjaya singgah di 3 buah kampung di kawasan pergunungan dengan ketinggian 1200-1300m dari paras laut. Kami disambut baik di perhentian pertama kami, tak disangka, Taleh yang merupakan salah seorang penduduk di sini sangat fasih berbahasa Inggeris. Alhamdulillah bertambah mudah kerja kami di sini memberi rawatan dan menyampaikan sumbangan
Dua lagi persinggahan terakhir team kami hari ini adalah di kawasan pekan dan kampung. Walaupun dah agak lewat, kami gagahkan juga kerana orang kampung sudah diberitahu yang kami akan singgah. Hari ke-2 misi bantuan tamat pada jam 10 malam.
HARI KETIGA
RUNTUHAN YANG
MENGINSAF JIWA
25 Feb 2023
Gazientep-Sakçagoz
Sebuah perkampungan petani dengan jumlah penduduk seramai lebih kurang 6000 orang. Kampung ini antara yang terkesan teruk akibat gempa. Menurut penduduk di sini 600 orang telah terkorban semasa gempa.
Kalau dilihat, memang tiada apa yang tinggal di sini. Semuanya musnah dalam sekelip mata sahaja. Tak tergambar bagaimana perasaan seorang pakcik ni kehilangan 9 orang ahli keluarga sekaligus. Ada yang tertimbus 6 orang sekeluarga bersama bayi. 4 jam terperangkap, hanya diselamatkan oleh jiran sekampung.
Terkadang bila difikir, tak ada apa yang mampu kami bantu di sini. Cuma mampu menadah telinga, mendengar cerita mereka meluah rasa.
HARI KE-EMPAT
MENJADI PENDENGAR
KISAH-KISAH MEREKA
26 Feb 2023
Gazientep-Sakçagoz-Istanbul
Disebabkan kekangan masa dan cuaca sejuk yang menyengat semalam, team kami mengulangi melawat ke kampung yang sama hari ini tetapi penempatan yang berlainan.
Seperti biasa, klinik bergerak kami mendapat sambutan menggalakkan. Rata-rata mangsa gempa mengalami masalah sakit otot, batuk selsema, sakit kulit, luka terbiar, sakit telinga, penyakit kronik dan banyak lagi. Sememangnya semua berkait dengan bencana gempa, cuaca sejuk dan keadaan berdebu.
Kami juga sempat follow-up seorang bapa yang kematian 2 orang anak semasa gempa. Tak berjalan selama 3 minggu kerana mengatakan kakinya patah. Setelah diperiksa, saya merasakan bukan kakinya yang patah, tapi hatinya yang ‘patah’. Hari ni merupakan hari pertama dia keluar dari khemah setelah 3 minggu terlantar tak berjalan.
Begitulah kehidupan… Masing-masing dengan ujian tersendiri. Sama ada ujian itu akan menjauh atau mendekatkan kita kepada Tuhan. Kita takkan pernah faham apa yang mereka rasa sehingga kita sendiri melaluinya. Mereka cuma perlukan hati dan telinga kita untuk dipinjam.
Walaupun kekangan bahasa perantara, kami tahu banyak cerita yang mahu mereka kongsi. Jika duduk dan dengar itu cukup untuk menghurai bungkam di hati, kami sudi datang bertamu lagi.
Yang patah adalah hatinya kerana kehilangan 2 orang anak semasa gempa.