TURKIYE, LAGI BERAT BAHU YANG MEMIKUL

DR. TAQIUDDIN

SEBUAH TRAVELOG
MISI BANTUAN KEMANUSIAAN
KE TURKIYE

Kejadian bencana yang menimpa Turkiye memberi kesan kepada penduduk yang mengalaminya. Beberapa pertubuhan NGO dari Malaysia komited menghulurkan bantuan dalam pelbagai cara. Klinik As-Salam turut mengambil peluang ini bagi menyampaikan bantuan dari segi bekalan perubatan.

Dr. Taqiuddin mewakili Klinik As-Salam berkongsi pengalaman ketika berada di perkampungan yang dilanda gempa untuk tatapan kita bersama. Sama-sama kita hayati kisah ini.

HARI PERTAMA

23 Feb 2023
Gazientep-Iskanderium-Hatay

Sejurus selepas mendarat di Lapangan Terbang Gazientep, team kami terus ke pusat gempa. Tetapi disebabkan beberapa masalah teknikal, kami tak dapat memulakan kerja. Hanya sempat singgah di sebuah hospital sementara dan sebuah pusat penempatan yang dikawal selia oleh sebuah NGO setempat.

Seperti dijangka, 2-3 minggu selepas berlakunya gempa adalah situasa bagaimana mangsa gempa mahu bangkit semula membina kehidupan.  Dengan rumah musnah yang entah bila dapat dibina semula, banyak perniagaan dan kedai tutup, hospital yang ada pun musnah, bantuan perubatan lambat masuk ke kawasan pedalaman, ubat-ubatan penyakit kronik terputus bekalan dan bermacam-macam lagi. Kalau nak disenarai, memang panjang.

Taklimat daripada doktor sukarelawan dari UK yang berasal dari Gazientep.
Keadaan dalam hospital sementara di Iskanderum.
Hospital sementara
Bekalan ubat untuk mangsa gempa.
Kawasan penempatan mangsa gempa pertama dilawati yg dikawalselia oleh NGO IHH

HARI KEDUA

BERMULALAH EPISOD MENYELAMI PENDERITAAN MEREKA

24 Feb 2023
Gazientep-Kahramanmaras

Dengan bantuan penduduk setempat dan seorang jurubahasa, team kami telah dibawa ke kawasan pendalaman di pergunungan yang terkesan teruk dengan gempa.

Kedudukan kampung yang jauh dari bandar menyebabkan bantuan luar agak lambat sampai dan mungkin ada yang terlepas pandang. Kami berjaya singgah di 3 buah kampung di kawasan pergunungan dengan ketinggian 1200-1300m dari paras laut. Kami disambut baik di perhentian pertama kami, tak disangka, Taleh yang merupakan salah seorang penduduk di sini sangat fasih berbahasa Inggeris. Alhamdulillah bertambah mudah kerja kami di sini memberi rawatan dan menyampaikan sumbangan

Car boot kami dikerumuni penduduk kampung untuk mendapatkan rawatan.
Ramai mangsa gempa kat sini yang kena gastritis/GERD. Tak dapat
dipastikan puncanya, mungkin sebab tak makan atau kerap makan roti sahaja.

Dua lagi persinggahan terakhir team kami hari ini adalah di kawasan pekan dan kampung. Walaupun dah agak lewat, kami gagahkan juga kerana orang kampung sudah diberitahu yang kami akan singgah. Hari ke-2 misi bantuan tamat pada jam 10 malam.

HARI KETIGA

RUNTUHAN YANG
MENGINSAF JIWA

25 Feb 2023

Gazientep-Sak├žagoz

Sebuah perkampungan petani dengan jumlah penduduk seramai lebih kurang 6000 orang. Kampung ini antara yang terkesan teruk akibat gempa. Menurut penduduk di sini 600 orang telah terkorban semasa gempa.

Kalau dilihat, memang tiada apa yang tinggal di sini. Semuanya musnah dalam sekelip mata sahaja. Tak tergambar bagaimana perasaan seorang pakcik ni kehilangan 9 orang ahli keluarga sekaligus. Ada yang tertimbus 6 orang sekeluarga bersama bayi. 4 jam terperangkap, hanya diselamatkan oleh jiran sekampung.

Terkadang bila difikir, tak ada apa yang mampu kami bantu di sini. Cuma mampu menadah telinga, mendengar cerita mereka meluah rasa.

HARI KE-EMPAT

MENJADI PENDENGAR
KISAH-KISAH MEREKA

26 Feb 2023

Gazientep-Sak├žagoz-Istanbul

Disebabkan kekangan masa dan cuaca sejuk yang menyengat semalam, team kami mengulangi melawat ke kampung yang sama hari ini tetapi penempatan yang berlainan.

Seperti biasa, klinik bergerak kami mendapat sambutan menggalakkan. Rata-rata mangsa gempa mengalami masalah sakit otot, batuk selsema, sakit kulit, luka terbiar, sakit telinga, penyakit kronik dan banyak lagi. Sememangnya semua berkait dengan bencana gempa, cuaca sejuk dan keadaan berdebu.

Kami juga sempat follow-up seorang bapa yang kematian 2 orang anak semasa gempa. Tak berjalan selama 3 minggu kerana mengatakan kakinya patah. Setelah diperiksa, saya merasakan bukan kakinya yang patah, tapi hatinya yang ‘patah’. Hari ni merupakan hari pertama dia keluar dari khemah setelah 3 minggu terlantar tak berjalan.

Begitulah kehidupan… Masing-masing dengan ujian tersendiri. Sama ada ujian itu akan menjauh atau mendekatkan kita kepada Tuhan. Kita takkan pernah faham apa yang mereka rasa sehingga kita sendiri melaluinya. Mereka cuma perlukan hati dan telinga kita untuk dipinjam.

Walaupun kekangan bahasa perantara, kami tahu banyak cerita yang mahu mereka kongsi. Jika duduk dan dengar itu cukup untuk menghurai bungkam di hati, kami sudi datang bertamu lagi.

Abang ni baru first time keluar khemah setelah 3minggu berkurung.
Yang patah adalah hatinya kerana kehilangan 2 orang anak semasa gempa.
Scroll to Top